|
Persidangan Meja Bulat Pendidikan "Isu Pemansuhan UPSR & PMR" |
|
|
|
|
Ditulis oleh Pengurus Web
|
|
Rabu, 25 Ogos 2010 08:00 |
|

Forum Meja Bulat berkaitan ”Isu Penghapusan UPSR & PMR di Sekolah-sekolah” telah diadakan dengan lancar pada 21 Ogos 2010 jam 3.00-6.30 petang di Kompleks Dar Al-Hikmah. Persidangan anjuran Majlis Tertinggi Pendidikan Al-Hikmah dengan kerjasama Yayasan Takmir Pendidikan ini telah dihadiri oleh seramai 45 orang dari kalangan ahli Majlis Tertinggi Pendidikan Al-Hikmah, wakil dari Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengetua dan guru-guru sekolah-sekolah Kebangsaan serta Pentadbir (Ketua Pegawai Esekutif, Pengetua dan Guru Besar) SERI/SEMI ABIM.
Pengerusi Majlis Tertinggi Pendidikan Al-Hikmah, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil memberi ucapan aluan. Beliau menekankan perlunya membincangkan isu berbangkit (polemik peperiksaan pendidikan ini) di dalam konteks yang lebih luas dan isu ini memberi peluang ABIM untuk membincangkannya secara holistik. Dan beliau berharap semoga dengan perubahan samada mengekalkan dengan penambahbaikan atau menghapuskannya, ABIM perlu bertindak menyediakan satu sistem membina generasi dan ummah yang kreatif, berani, bebas dan berdikari bukannya pelajar/ummah yang tertekan dengan sistem persekolahan kerana terlalu menekankan 'exam orientation'. Wakil dari Lembaga Peperiksaan Negara, Dr. Hj. Jamil b. Adimin (Ketua Sektor Pengurusan Dasar & Perkembangan Lembaga Peperiksaan) membentangkan kertas kerja berkaitan dengan Pentaksiran Perkembangan Individu dan Pertumbuhan Negara. Beliau juga melaporkan di kalangan publik mahu mengekalkan UPSR & PMR dengan penambahbaikan melalui pandangan balas dari emel, akhbar, guru dan pelajar dan Persidangan Meja Bulat KPM 1 & 2. Beliau mengesyorkan ABIM perlu mengemukakan pandangan secara menyeluruh mengenai sistem pendidikan Negara termasuk isu pentaksiran.
Prof Madya Dr. Halim Muhammady pula menyifatkan perkembangan pendidikan kini lebih kepada kosmetik daripada fundamantal. Justeru itu beliau menyarankan agar kita perlu melihat fungsi pendidikan dari aspek nilai, akhlak dan ketamadunan teras pendidikan Melayu, sejarah, agama dan bangsa. Beliau juga menyarankan agar dapat mengkaji tentang peradaban secara saintifik.
Ketua Pengarah Pendidikan YTP, Tn. Hj. Mahyuddin b. Ashaari pula teguh berpandangan bahawa sekolah ABIM merupakan ’role model’ terbaik yang boleh bersaing serta bersama-sama dalam pendidikan negara sebagai institusi pendidikan yang berpaksikan ilmu wahyu dan fikrah islamiah serta dapat membina sahsiah dan jati diri di samping kecemerlangan akademik. Ini dapat dibuktikan melalui kejayaan-kejayaan oleh bekas-bekas pelajar yang telah berjaya dan mencipta nama sehingga ke arena antarabangsa. Bagaimanapun penambahbaikan perlu dilakukan dari masa ke semasa.
Dr. Haslinda bt Abdullah (Ketua Biro Pendidikan ABIM Pusat) selaku mempengerusikan majlis telah merumuskan hasil pandangan dan saranan daripada ahli majlis akan diperhalusi dan diteliti melalui perbincangan dan pertemuan-pertemuan lagi bagi mendapatkan sebuah resolusi yang menyeluruh dalam sistem pendidikan untuk di hantar kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Laporan : Nurjannah bt Keman
Galeri Foto |